![]() |
| Pendatang dari Maghribi berkumpul di padang sukan untuk didaftarkan susulan kemasukan pendatang beramai-ramai pendatang di Ceuta baru-baru ini. - Gambar oleh REUTERS |
Berdasarkan kepada laporan berita daripada Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) melalui Berita Harian (BH) pada 2 Oktober 2026, Menteri Dalam Negeri Kesatuan Eropah (EU) memberikan kelulusan akhir kepada rang undang-undang baru yang bertujuan meningkatkan lagi pengusiran pendatang di Eropah.
Agensi Berita Jerman (DPA) menyatakan bahawa undang-undang ini diluluskan dalam pada desakan untuk langkah lebih tegas susulan kemasukan beramai-ramai pendatang di Ceuta, wilayah Sepanyol pada akhir Julai 2026. Undang-undang yang diluluskan pada 1 Oktober 2026 (Khamis) itu menyediakan asas undang-undang untuk menubuhkan pusat pengusiran yang kontroversi di luar EU bagi pendatang yang diwajibkan meninggalkan blok itu secara sah tetapi tidak boleh dihantar pulang ke negara asal mereka. Selain itu, ia turut memperkenal kewajipan baru serta kemungkinan pemohon suaka yang permohonannya ditolak dikenakan penalti.
Selain daripada itu, ia meluaskan lagi penahanan individu yang dianggap menimbulkan risiko terhadap keselamatan sementara menunggu pengusiran mereka. Menteri Dalam Negeri EU yang berkumpul di Luxembourg turut melihat kesan susulan kemasukan beramai-ramai di sempadan pada akhir Julai. Dalam kes itu, kira-kira 72,000 orang pendatang tiba di Ceuta dalam tempoh beberapa hari sehingga mencetuskan krisis diplomatik dan saling tuduh menuduh antara negara anggota EU.
Pada bulan September 2026, Presiden Suruhanjaya Eropah iaitu Ursula von der Leyen mengumumkan rangka kerja tindak balas terhadap krisis Eropah yang membenarkan peraturan sementara daripada peraturan mengenai pergerakan pendatang yang sengaja diatur dan digunakan untuk menekan EU. Butiran cadangan itu masih belum dibentangkan, namun beberapa menteri EU menggesa supaya sekatan tambahan diperkenalkan.
Alexander Dobrindt, Menteri Dalam Negeri Jerman menyokong idea memperkenalkan peraturan khas semasa krisis ini. Beliau berkata mungkin terdapat keadaan tertentu yang tidak memerlukan prosedur seperti piawaian yang dilaksanakan.
Maklumat tambahan boleh juga diakses daripada kenyataan media berjudul, "European Parliament approves tougher migration policy, legalises arbitrary detention and refoulement of migrants and asylum seekers" oleh Euro-Med Human Rights Monitor.



