Kebudayaan dan Masyarakat Yamnaya

Kebanyakan misteri yang menyelubungi Yamnaya ini kebanyakannya didedahkan oleh arkeologi. Istilah Yamnaya di sini muncul dari ungkapan bahasa Russia iaitu Yamnaya Kultura yang bermaksud 'kebudayaan jurang'. Hal ini merujuk kepada jenis-jenis kuburan yang ditinggalkan oleh mereka.

Yamnaya merupakan penggembala nomad yang berasal dari padang rumput di Eurasia sebelum berpindah ke barat. Salah satu perkara yang dicadangkan mengenai Yamnaya ini adalah mereka bertanggungjawab bagi kemunculan konsep pusaka iaitu harta yang dimiliki oleh keluarga tertentu dan pindah miliknya hanya kepada individu yang berada dalam keluarga tersebut.

Sebelum ketibaan Yamnaya, kubur-kubur di Eropah adalah besar dan digunakan bersama. Kuburan mereka kelihatan dimiliki oleh lebih daripada satu keluarga. Walau bagaimanapun, kubur Yamnaya pula banyak dimiliki oleh individu. Keadaan ini mungkin berkait rapat dengan gaya kehidupan Yamnaya itu sendiri di mana mobiliti menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak masa untuk memperkembang banyak keluarga seperti puak.

Yamnaya adalah salah satu daripada kebudayaan Zaman Gangsa yang pernah wujud di Eropah. Penggunaan bahan dari gangsa dan tembaga memberikan mereka banyak kelebihan jika dibandingkan dengan penduduk Eropah lain yang mengamalkan kebudayaan Neolitik iaitu penduduk dari Zaman Batu. Selain itu, terdapat juga cadangan bahawa wanita Eropah lebih berminat untuk berkahwin dengan lelaki Yamnaya kerana kehebatan mereka sebagai pahlawan dan kemajuan teknologi mereka.      

Yamnaya yang menakluki Eropah kelihatannya ramai lelaki. Nisbah lelaki kepada perempuan mereka adalah setinggi 14 lelaki untuk seorang wanita. Disebabkan hal inilah maka tidak munasabah untuk mencadangkan bahawa kebanyakan lelaki Yamnaya yang datang ke Eropah itu adalah dalam kalangan pahlawan. Boleh jadi juga migrasi mereka ke Eropah itu adalah satu penaklukan yang tersusun. Walau apa jua keadaan, pergerakan ke tanah yang baru itu boleh jadi sesuatu yang disengajakan.

Boleh jadi juga sebab migrasi ini adalah untuk mendapatkan tanah jajahan yang secara kebudayaan dan politik selari dengan tanah air mereka supaya mereka boleh memperkembang budaya serta keluarga mereka di tanah yang baru. Hal ini boleh jadi serupa dengan tujuan jajahan Yunani dan Romawi dibangunakan di rantau Mediteranea. Boleh jadi juga mereka adalah penyerang yang ingin menjadi kaya hasil dari menjarah atau mendapatkan kejayaan dalam peperangan bagi mendapat kedudukan dalam masyarakat mereka, sama seperti Viking.

Gaya hidup Yamanaya kelihatan seperti campuran antara penggembala, pertanian dan pemburu yang mengumpulkan hasil seperti gaya kehidupan kebudayaan Eropah yang seterusnya yang diamalkan dalam kebudayaan Celtic dan Germanic awal. Keadaan ini masuk akal juga kerana penemuan terbaru mencadangkan bahawa orang Germanic dan Celtic adalah keturunan kepada penduduk dari kebudayaan Yamanaya ini.