Huruf Greek

Huruf Greek adalah sistem tulisan yang mengandungi sebanyak 24 huruf semuanya. Ia digunakan untuk menulis bahasa Greek. Selain itu, huruf Greek juga banyak digunakan dalam ilmu sains dan matematik bagi mewakili pelbagai jenis nilai atau pemboleh ubah. Kebanyakan huruf dalam bahasa Greek mempunyai padanan dengan huruf dalam bahasa Latin dan bahasa Inggeris.

Berikut adalah 24 huruf dalam bahasa Greek yang terdiri daripada huruf besar dan huruf kecil:

Α α, Β β, Γ γ, Δ δ, Ε ε, Ζ ζ, Η η, Θ θ, Ι ι, Κ κ, Λ λ, Μ μ, Ν ν, Ξ ξ, Ο ο, Π π, Ρ ρ, Σ σ atau ς, Τ τ, Υ υ, Φ φ, Χ χ, Ψ ψ, dan Ω ω.

Huruf Greek difikirkan menjadi nenek moyang kepada kebanyakan huruf yang digunakan dalam bahasa-bahasa di Eropah. Huruf ini dipinjam daripada huruf Phoenicia sekitar abad ke-10 SM, dengan kebanyakannya berubah untuk mewakili bunyi dalam bahasa Greek.

Sesetengah huruf Phoenicia mempunyai bunyi yang tidak sepadan dengan bahasa Greek dijadikan sebagai bunyi vokal. Orang Phoenicia menulis abjad bahasa mereka tanpa sebarang lambang vokal sama seperti dalam bahasa Ibrani atau bahasa Arab pada zaman moden. Jelas sekali, penutur bahasa Phoenicia mengetahui cara menyebut perkataan dalam bahasa mereka, jadi hal ini tidak menjadi masalah bagi mereka. Walau bagaimanapun, penambahan bunyi vokal oleh penutur bahasa Greek adalah lebih baik bagi negara yang menggunakan bahasa Greek sebagai bahasa kedua.

Bahasa Greek menjadikan pembacaan lebih mudah dalam urusan perdagangan dengan kebudayaan lain. Umumnya, bahasa Indo Eropah tidak menggunakan kata akar berasaskan konsonan yang mana maksud asas sesuatu perkataan itu didasarkan kepada kombinasi konsonan seperti dalam bahasa Semitik seperti bahasa Phoenicia, bahasa Ibrani, bahasa Arami dan bahasa Arab.