Kesatuan Eropah (EU) adalah satu entiti geopolitik yang merangkumi sebahagian besar daripada benua Eropah. EU diasaskan melalui pelbagai triti atau perjanjian dan melalui peluasan serta pemisahan negara anggota. Sehingga kini, jumlah negara anggotanya adalah sebanyak 27 buah negara sekaligus membentuk majoriti di benua Eropah.
Sejak permulaan institusi integrasi Eropah moden pada tahun 1948, perkembangan EU ditetapkan kepada asas supranasional atau melampaui kebangsaan. Hal ini menjadikan "peperangan sebagai sesuatu yang mustahil" dan menyuburkan demokrasi dalam kalangan negara anggota seperti yang diharapkan oleh Robert Schuman serta pemimpin lain dalam Perisytiharan Schuman pada tahun 1950 dan Perisytiharan Eropah pada tahun 1951.
Prinsip ini menjadi keutamaan dalam Komuniti Besi dan Arang Batu Eropah (ECSC) pada tahun 1951, Triti Paris pada tahun 1951, dan kemudian Triti Rome pada tahun 1958 yang mengasaskan Komuniti Ekonomi Eropah (EEC) serta Komuniti Tenaga Atom Eropah (EAEC). Triti Maastricht pada tahun 1992 mewujudkan Kesatuan Eropah (EU) dengan sistem rukunnya, termasuklah hal ehwal luar negara dan dalam negeri bersama-sama dengan Komuniti Eropah. Keadaan ini selanjutnya mewujudkan pula satu matawang Eropah yang digunakan bersama oleh negara anggotanya bermula pada tahun 1999.
ECSC dibubarkan pada tahun 2002. Triti Maastricht pula dipinda oleh Triti Amsterdam pada tahun 1997, Triti Nice pada tahun 2001 dan Triti Lisbon pada tahun 2007. Triti Lisbon kemudian menggabungkan tiga rukun menjadi satu entiti sahaja walaupun EAEC masih lagi mengekalkan identiti sahnya yang tersendiri namun berkongsi ahli dan institusi dengan agensi lain.