Berdasarkan rencana berjudul, "Recovery plans: MEPs push for wise use of money, democratic oversight" yang diterbitkan oleh Parlimen Eropah pada 15 Jun 2022, Ahli Parlimen Eropah menyebut bahawa negara ahli Kesatuan Eropah (EU) patut menggunakan lebih daripada 700 billion euro yang dibekalkan bawah Pelan Pemulihan Kesatuan EU bagi menyesuaikan EU dengan realiti sosial dan ekonomi baru pasca COVID-19.
Fasiliti Ketahanan dan Pemulihan EU
Fasiliti Ketahanan dan Pemulihan EU atau EU's Recovery and Resilience Facility dibangunkan pada saat krisis COVID-19 sedand meruncing bagi menyokong negara EU yang bergelut dengan perniagaan dan situasi sosial mereka. Dalam pada ekonomi EU mengalami kenaikan semula pada tahun 2021 selepas kejatuhan mendadak pada tahun 2022, dunia menghadapi cabaran ekonomi dan sosial baru pula seperti peperangan di Ukraine serta peningkatan harga makanan dan tenaga.
Fasiliti yang bernilai 723,8 bilion euro ini bertindak melebihi peranannya sebagai instrumen jangka pendek yang mana ia menjadi pelan yang berorientasikan kepada masa hadapan. Ia menyediakan dana pembaharuan dan pelaburan yang dicadangkan oleh negara EU dalam bidang seperti:
- Peralihan Hijau
- Transformasi Digital
- Kesihatan
- Ketahanan Sosial dan Ekonomi
- Sokongan kepada Golongan Belia
Dalam satu laporan berkenaan dengan Pelaksanaan Fasiliti Pemulihan dan Ketahanan, yang diterima pakai oleh Parlimen Eropah pada 23 Jun 2022, ahli parlimen menekankan bahawa wang seharusnya digunakan dengan efektif bagi memastikan manfaat jangka panjang kepada ekonomi dan masyarakat EU. Mereka menekankan keperluan untuk meningkatkan autonomi strategik EU, mengurangkan kebergantungan kepada bahan bakar fosil yang diimport dan mempelbagai sumber tenaga.
Kemajuan selepas Pelaksanaan
Pada sidang debat plenari pada 22 Jun 2022, Elder Gardiazabal, ahli parlimen Eropah dan penulis bersama laporan Parlimen Eropah berkata bahawa pelan pemulihan dibiayai menerusi pengeluaran hutang bersama Eropah oleh Suruhanjaya Eropah. Hutang ini akan dibayar dengan sumber baru dari keuntungan bajet EU.
Tindak balas kepada krisis COVID-19 adalah sangat berbeza berbanding dengan terhadap krisis kewangan pada tahun 2008. Ia bersifat inovatif dan banyak sekatan telah diatasi serta beberapa pantang pun telah dilanggar olehnya.
Selain daripada ansuran pra-pembayaran sebanyak 13% dari dana EU, negara anggota EU menerima keseluruhan pembayaran di bawah Fasiliti Ketahanan dan Pemulihan apabila mencapai sasaran yang khusus.
Sokongan EU untuk Pemulihan Ekonomi
Keputusan untuk meluluskan pelan pemulihan negara diambil oleh Majlis berdasarkan kepada kepada cadangan dari Suruhanjaya Eropah. Walaupun Parlimen Eropah tidak memainkan peranan yang rasmi namun, ia telah membangkitkan kebimbangan mengenai kedaulatan undang-undang dan perlindungan kepentingan kewangan EU di beberapa negara. Sebagai contoh, pada Jun 2022, ahli parlimen Eropah menyatakan rasa tidak setuju mereka dengan keputusan meluluskan pelan pemulihan Poland dan pada Nombember 2022 pula, ahli parlimen Eropah menegaskan bahawa EU haruslah mengelak tekanan dari meluluskan pelan pemulihan Hungary.
Kelulusan bagi pelan pembangunan seperti projek, pembaharuan dan pelaburan di mana-mana negara anggota EU bergantung kepada pegangan mereka kepada nilai EU. Dana pemulihan yang diberikan kepada negara anggota EU adalah dalam bentuk geran atau pinjaman. Negara anggota juga merancang jumlah penuh geran yang ada namun pada Jun 2022 mereka menyatakan bahawa mereka akan menggunakan sejumlah 166 billion euro daripada 385.8 billion untuk tujuan pinjaman.
Ahli parlimen Eropah menggesa negara anggota supaya menggunakan potensi Fasiliti Ketahanan dan Pemulihan ini dengan sebaik mungkin bagi mengekang kesan daripada pandemik serta cabaran yang muncul pada masa hadapan.
Pemantauan Parlimen Eropah
Parlimen Eropah terlibat aktif dalam menyemak pelaksanaan Fasiliti Ketahanan dan Pemulihan EU. Ahli parlimen Eropah berdebat dan menerima pakai resolusi berkenaan topik khusus. Bajet Parlimen dan jawatankuasa ekonomi turut mengadakan perbincangan setiap suku tahun bersama dengan pesuruhjaya serta mereka sering bermesyuarat di peringkat teknikal dengan pegawai Suruhanjaya.
Ahli parlimen Eropah ingin memastikan supaya dana digunakan dengan telus dan mengikut lunas undang-undang serta Suruhanjaya menjalankan pemantauan efektif dan audit ke atas negara anggota EU.
Laporan Parlimen juga mencatatkan bahawa pentadbiran awam negara mengalami kesukaran dalam menyerap semua dana dalam jangka masa yang pendek kerana segala pembaharuan serta pelaburan mestilah dibuat sebelum atau menjelang tahun 2026. Ahli parlimen Eropah menggesa pihak berkuasa tempatan dan serantau, rakan kongsi sosial dan badan masyarakat madani turut dilibatkan dalam melaksanakan pelan nasional bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan menjamin akauntabiliti demokratik. Sebagai contoh, Siegfried Muresan, ahli parlimen Eropah dari negara Romania menyatakan bahawa mereka ingin melihat lebih banyak projek rentas sempadan dijalankan terutamanya di kawasan sumber tenaga kerana ia akan membantu dalam proses pemindahan tenaga ke rantau EU yang memerlukannya.