Empayar Romawi

Empayar Romawi diasaskan oleh Augustus Caesar yang mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja Romawi yang pertama pada tahun 31 SM. Empayar Romawi berakhir dengan kejatuhan kota Konstantinopel pada tahun 1453 masihi.

Zaman antara maharaja Augustus dan Diocletian digelar sebagai zaman Empayar Tinggi. Manakala zaman Empayar Rendah pula adalah zaman di antara maharaja Diocletian dan kejatuhan empayar Romawi di Barat.

A. Zaman Empayar Tinggi (31 SM - 305 M)

Empayar Romawi berada di zaman keemasannya antara tahun ke-14 dan ke-68 waris Augustus menggantikan baginda iaitu zaman Tiberius, Caligula, Claudius dan Nero. Pewarisan dinasti ini terganggu dengan kemangkatan maharaja Nero dan perang saudara yang berlaku pada tahun ke-68. Tiga maharaja berebut kuasa dan akhirnya peperangan itu dimenangi oleh Vespasian, sebahagian daripada dinasti Flavian.

Dinasti Flavian digantikan oleh Antonines (96 - 193), istilah umum yang diberikan kepada Nerva, Trajan, Hadrian, Antoninus Pius, Marcus Aurelius dan Commodus. Maharaja ini semuanya mempunyai dasar yang sama kepada bangsa Flavia.

Kenaikan Septimius Severus (197 - 235) menjadikan baginda sebagai maharaja pertama dari dinasti Severan yang memerintah empayar Romawi. Baginda digantikan oleh Caracalla, Macrinus, Elagabalus dan Alexander Severus.

Kuasa mutlak Roma, ibu kota empayar Romawi mula menjadi lemah mengikut putaran zaman. Antara tahun 235 dan 300, kota Roma hanya mengutamakan pertahanan sempadannya sahaja dari serangan orang gasar dan dari dinasti Sasan, Parsi. Tekanan dari serangan ini menyebabkan tentera merampas kuasa pada tahun 235. Era ini dikenali sebagai anarki ketenteraan dan mengambil masa selama 50 tahun. Maharaja pada ketika ini hanya mempunyai satu sahaja misi iaitu menentang musuh empayar Romawi dan menjaga keselamatan sempadannya.     

Akibat peperangan yang berterusan itu, kos ketenteraan menjadi mahal dan sukar untuk dijaga. Keadaan ini menyebabkan empayar Romawi menanggung hutang. Seterusnya menjadikan penduduk Romawi miskin dan mula kehilangan identiti serta nilai diri mereka. Mereka pun mula mempersoal kepercayaan agama mereka, terutamanya selepas ketibaan ajaran baru dari Timur. Penganiayaan ke atas penduduk minoriti yang menganuti ajaran Nasrani oleh maharaja Diocletian merupakan salah satu cara untuk menghapuskan bahaya yang dihadapi oleh empayar Romawi.

Pada tahun 284, pemberontakan tentera telah menyelamatkan empayar Romawi dan Diocletian pun diisytiharkan sebagai maharaja Romawi. Beliau mengamalkan pemerintahan Tetrarchy, iaitu satu bentuk kerajaan yang membahagikan kuasa. Baginda melantik Panglima Maximian di rantau barat empayar Romawi manakala maharaja memerintah di rantau timur. Seterusnya, baginda melantik dua orang kaisar mewakili maharaja Romawi.

Maharaja Diocletian turun takhta pada tahun 305 menunjukkan bahawa sistem politik Tetrarchy ini tidak berkesan tanpa orang yang boleh mengepalainya.

B. Zaman Empayar Rendah (305 - 476 M)

Selepas maharaja Diocletian turun takhta pada tahun 305, satu siri konflik berlaku sehingga tahun 312 apabila maharaja Konstantin menjadi satu-satunya maharaja di Barat. Baginda menjadi maharaja terakhir yang menyatukan empayar Romawi dan menjadikan agama Nasrani sebagai agama rasmi empayar Romawi. 

Ibu kota empayar Romawi dipindahkan ke bandar purba Byzantium yang kemudian dibina semula. Kota Byzantium bermula dari 8 November 324 dinamakan sebagai Konstanipal atau Kota Konstantin. Maharaja Theodosius, pengganti kepada maharaja Konstantin kemudian membahagikan empayar Romawi kepada dua anakanda baginda iaitu Arcadius dan Honoris sekaligus menyebabkan empayar Romawi menjadi Romawi Barat dan Romawi Timur.

Empayar Romawi Barat mengalami kejatuhan pada tahun 476 masihi. Manakala, empayar Romawi Timur atau Byzantine terselamat sehingga tahun 1453 masihi dengan kota Konstantinopal jatuh ke tangan Turki Osmaniah dan digelar dengan nama Istanbul.