Bahasa Yunani

Bahasa Yunani atau disebut sebagai Hellenike adalah merupakan satu cabang bahasa Indo-Eropah yang bebas. Ia merupakan bahasa asal di rantau Greece, Cyprus, Albania, beberapa bahagian Timur Mediteranea dan Laut Hitam. Bahasa Yunani adalah merupakan bahasa yang bersejarah panjang dalam jenis bahasa Indo-Eropah dengan rekod bertulisnya sekurang-kurangnya dikesan dari 3,400 tahun yang lampau.

Bahasa Yunani menggunakan sistem tulisan huruf Yunani yang telah pun digunakan sejak 2,600 tahun yang lalu. Sebelumnya, bahasa Yunani direkodkan dengan menggunakan sistem suku kata Cypriot dan Linear B. Huruf yang muncul dari sistem tulisan Phoenicia dan kemudian menjadi asas kepada huruf Latin, Cyrillic Russia, Armenia, Coptic dan Gothic turut menjadi asas kepada sistem tulisan bahasa Yunani.

Bahasa Greek dipandang sebagai penting dalam sejarah dunia Barat. Bermula dengan epik Homer, sastera Yunani purba termasuklah kebanyakan karya yang dipandang penting dalam kanun di Eropah. Bahasa Yunani turut menjadi bahasa penyampai dalam sastera asas sains dan falsafah yang ditulis di benua Eropah. Kitab Perjanjian Baru dalam Injil Nasrani juga pada asalnya ditulis dalam bahasa Yunani. Bersama dengan sastera Latin dan istiadat dunia Romawi, naskah sastera Yunani dan masyarakat Yunani purba menjadi bahan dalam mata pelajaran Klasik di Eropah.

Semasa zaman purba, bahasa Yunani menjadi lingua franca yang dituturkan secara meluas di dunia Mediteranea. Ia kemudian menjadi bahasa rasmi empayar Byzantine atau Romawi Timur dan berkembang menjadi bahasa Yunani Pertengahan. Dalam bentuk modennya pula, bahasa Yunani menjadi bahasa Greece dan Cyprus serta diterima sebagai salah satu daripada 24 bahasa rasmi di Kesatuan Eropah (EU).

Bahasa Yunani dituturkan oleh sekurang-kurangnya 13.5 juta orang pada hari ini di Greece, Cyprus, Itali, Albania, Turki dan negara-negara yang mempunyai diaspora bangsa Yunani. Kata akar bahasa Yunani digunakan secara meluas berabad-abad lamanya dan terus digunakan secara meluas bagi merantaikan perkataan baru dalam bahasa lain. Bahasa Yunani dan bahasa Latin menjadi sumber utama kepada perbendaharaan kata saintifik antarabangsa pada hari ini.